‘Tiada lagi sentuhan kasih sayang’
GURU dulu tegas dan komited sewaktu menjalankan tugas, namun di sebalik ketegasan itu ada hati yang bersih dan ikhlas mendidik pelajar menjadi anak bangsa berjaya.
Disebabkan sikap bertanggungjawab itu, mereka bukan saja dihormati malah mulia kedudukannya dalam kalangan masyarakat.
Kini, ketegasan, integriti, profesionalisme, hak bersuara serta taraf guru semakin suram dan merudum di mata masyarakat malah menyedihkan kerana golongan itu mudah diperkotak-katikkan pelajar sendiri.
Ini menjadikan hubungan antara guru-pelajar semakin jauh, dingin dan bergolak. Kesannya, semangat guru kian pudar melaksanakan tanggungjawab lebih dedikasi.
Disebabkan tidak mendapat sokongan selain bebanan tugasan semakin bertambah, motivasi sebahagian guru mulai luntur dan culas melaksanakan tanggungjawab. Mereka tidak lagi memegang falsafah ingin bertanggungjawab memberi pendidikan, tetapi lebih kepada mengajar semata-mata.
Mengajar lebih menjurus kepada kaedah 2M iaitu membabitkan proses penyampaian ilmu pengetahuan dari guru kepada pelajar dan lebih menumpukan kepada pembangunan intelektual atau akademik.
Manakala mendidik membentuk sahsiah atau akhlak dan memerlukan tempoh masa panjang untuk membentuk akhlak pelajar yang baik.Persoalannya apakah beza mendidik dan mengajar?Pensyarah Kanan Program Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Isya Awang, berkata ada perbezaan antara konsep mendidik dan mengajar dalam ilmu pendidikan.Beliau berkata, mengajar lebih ketara berbentuk fizikal manakala mendidik sebagai ‘sentuhan’ emosi dan kasih sayang guru kepada pelajar.“Boleh dikatakan sebahagian guru hari ini hanya menumpukan pada konsep mengajar berbanding mendidik. Mereka datang ke sekolah hanya untuk mengajar, menghabiskan silibus dan menerima gaji hujung bulan.“Tiada lagi ‘sentuhan’ atau perasaan kasih sayang telus seperti ditunjukkan golongan guru dulu. Guru dan pelajar kurang berinteraksi, sentiasa mencipta konflik.“Bagaimanapun, menuding jari pada guru semata-mata adalah tidak adil kerana kita terpaksa menerima keadaan itu kerana senario hari ini tidak semuanya memihak kepada mereka,” katanya.